SEMINAR BIO HERBA 2017: “MEMACU TEKNOUSAHAWAN BERINOVASI DALAM INDUSTRI HERBA KE ARAH TRANSFORMASI EKONOMI”

Tanggal tarikh 21 November 2017, syukur alhamdulillah KKTM Lenggong telah berjaya menganjurkan program Seminar Bio Herba 2017 dengan kerjasama MARA Negeri Perak yang bermula pada 7.30 pagi hingga 5.30 petang.

Pelbagai pengisian program telah diatur antaranya adalah sesi diskusi secara forum, bicara bersama ikon usahawan herba serta lawatan ke fasiliti-fasiliti perkilangan dan makmal di sini. Seminar Bio Herba 2017 telah disempurnakan perasmiannya oleh YBhg Prof Emeritus Dato’ Dr. Abu Azam bin Md Yassin (Ahli Majlis MARA).

Penglibatan usahawan-usahawan khususnya dalam industri herba semasa program Seminar Bio Herba 2017 amat menggalakkan dengan seramai 273 orang yang meliputi dari negeri Kedah, Pahang, Terengganu selain dari negeri Perak yang mana telah melepasi sasaran pihak penganjur iaitu seramai 250 orang.

Sebanyak 10 syarikat telah menyertai tapak jualan atau pameran semasa program seminar tersebut. Syarikat-syarikat tersebut adalah Syarikat Minyak Afiat Sdn Bhd, Ethno Resources Sdn Bhd, MPRO Edar Enterprise, Yanen’s Herb Enterprise, Kolej Kemahiran Tinggi MARA Lenggong, Maktab Rendah Sains MARA Lenggong, Pertubuhan Peladang Kawasan Lenggong, Sidratul Edar, Syamille Agrofarm & Resort Sdn Bhd serta Sufi Healing Resources
Enterprise. Pihak KKTM Lenggong telah menjemput panel penceramah dari SME Corporation Malaysia dan UniKL MICET untuk kupasan sesi forum pertama dengan tajuk ‘Transformasi Keusahawanan Dengan Inovasi Dan Teknologi’. Manakala tajuk untuk sesi forum kedua iaitu ‘Potensi Masa Depan Serta Peluang Perusahaan Dan Pembangunan Industri Herba Malaysia’ telah diperincikan dengan jayanya oleh Bahagian Pembangunan Usahawan MARA bersama Pejabat Pembangunan Herba, Bahagian Industri Tanaman, Ternakan Dan Perikanan, Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani. Datuk Rosyam Nor telah dijemput sebagai ikon usahawan herba untuk bersama warga MARA, pelajar KKTM Lenggong dan usahawan berkongsi tips kejayaan dan pengalaman di atas kejayaannya
sebagai usahawan produk berasaskan durian belanda.

Objektif Seminar Bio Herba 2017 adalah untuk mempromosi peranan Kolej Kemahiran Tinggi MARA Lenggong sebagai sebuah Pusat Kecemerlangan dalam bidang industri herba di Malaysia untuk meningkatkan martabat industri herba dan memberi pendedahan kepada pelajar khususnya dan usahawan mendalami bidang herba dan potensi industri herba dari peringkat huluan ke peringkat hiliran di Malaysia. Selain itu, ia juga merupakan satu platform atau medium penyampaian info terkini dari jabatan/agensi yang berkenaan dan perkongsian
pengalaman usahawan yang berjaya dalam menempuh segala cabaran dan rintangan.